Saturday, April 4, 2009

PM umum bebas 13 tahanan ISA, batal larangan ke atas akhbar PAS, PKR


Malaysiakini - Dikemaskini 9.45pm Penggantungan dua akhbar berpengaruh Harakah dan Suara Keadilan ditarik balik serta-merta malam ini dan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk dua pemimpin Hindraf, turut dibebaskan.


"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan bahawa kerajaan akan menarik balik larangan penerbitan sementara bagi dua surat khabar, membebaskan 13 tahanan ISA, berkuatkuasa serta-merta," kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Walaupun beliau tidak menyebut secara khusus nama dua akhbar terbabit, tetapi sudah menjadi pengetahuan umum bahawa akhbar PAS dan PKR itu telah digantung sementara penerbitannya sejak 23 Mac lalu.


Datuk Seri Najib Abdul Razak, yang secara rasmi mengangkat sumpah di depan Yang di-Pertuan Agong jam 10.10 pagi tadi, membuat kenyataan sulung itu ke seluruh negara di TV1 malam ini.


"Kementerian Dalam Negeri akan memberi butir-butir selanjutnya selepas ini," tambahnya. Dalam ucapan lapan minit itu, Najib juga berjanji untuk menyemak semula ISA dalam masa terdekat.


"Proses kajian semula terhadap ISA juga dimulakan," tambahnya.


Pengumuman Najib itu dilihat selari dengan desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya perdana menteri baru itu bertindak lebih demokratik termasuk menarik larangan ke atas dua penerbitan berkenaan dan membebaskan tahanan ISA.


Mereka yang akan dibebaskan ialah dua pemimpin Hindraf, tiga rakyat asing dan lapan anggota Darul Islamiyah. Dua pemimpin Hindraf tersebut ialah peguam V Ganabatirau, 40, dan R Kenghadharan, 40.


Mereka adalah antara lima pemimpin Hindraf yang ditahan hampir dua tahun. Tiga orang lagi ialah peguam M Manoharan, 46, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Alam Shah, P Uthayakumar, 46, dan bekas pegawai bank, K Vasantha Kumar, 36.


Anggota Darul Islam yang dibebaskan ialah Binsali Omar, A. Artas A.Burhanudin, Idris Lanama, Francis Indanan, Mohd Nazri Dollah, Pakana Selama dan Mohd Arasad Patangari yang ditahan sejak 2006. Tempoh tahanan mereka sepatutnnya berakhir tahun depan.


Tiga rakyat asing itu ialah Sundaraj Vijay (warga India) dan dua warga Myanmar iaitu San Khaing dan Amir Hussain. Mereka ditahan sejak 2007. Anggota Jemaah Islamiah itu ialah Wan Amin Wan Hamat yang ditahan sejak 2003. Tempoh tahanan beliau sepatutnya berakhir pada 2011.


Menurut Menteri Kementerian Dalam Negeri, mereka ini dibebaskan kerana tidak lagi dianggap sebagai ancaman kepada negara.


Dalam ucapan itu juga Najib berkata, sudah tepat masanya mengambil langkah-langkah sedemikian untuk mengukuhkan keyakinan rakyat terhadap pihak berwajib atas soal keselamatan dan mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman yang dianggap berbahaya dan munasabah.


Pengumuman mengejut penarikan semula penggantungan akhbar PAS dan PKR itu dan pembebasan tahanan ISA itu, dijangka memberi kesan besar ke atas tiga pilihanraya kecil yang sedang berlangsung di Perak, Kedah dan Sarawak.


Tabloid dwimingguan Harakah dan mingguan Suara Keadilan digantung serta-merta selama tiga bulan mulai 23 Mac - tindakan yang dianggap cuba menghalang keberkesanan kempen dua parti itu dalam pilihanraya di parlimen Bukit Gantang, DUN Bukit Selambau dan DUN Batang Ai.


Najib juga berkata, beliau menyedari bahawa sekarang adalah masa yang cukup mencabar bagi setiap warga. "Saya komited, kepimpinan akan berdiri kukuh untuk menghadapi krisis ekonomi yang kini melanda seluruh dunia, termasuk negara kita.


"Saya akan tetap berpegang kepada iltizam untuk memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.


"Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat negara dengan semangat 'satu Malaysia' - rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan."

No comments: