Wednesday, March 25, 2009

5 Negeri dan Seterusnya Apa?

Gelombang tsunami politik yang melanda semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke 12 menyaksikan Pakatan Rakyat (PR) telah memenangi 5 kerajaan negeri dan rakyat menaruh harapan yang tinggi terhadap pentadbiran kerajaan negeri yang baru. Belum pernah terjadi di dalam sejarah pentadbiran Malaysia, pihak pembangkang di parlimen dapat menubuhkan sebegitu bayak kerajaan di peringkat negeri seperti mana sekarang. Kini, hampir setahun PR telah memerintah negeri-negeri ini.

Usaha ke arah memantapkan pentadbiran negeri perlu dilakukan berterusan dan pihak Anwar yang menjadi Ketua Pembangkang di parlimen seharusnya meletakkan pembangunan negeri-negeri tersebut sebagai teras utama di dalam agenda politik PR. PR mempunyai empat tahun sahaja lagi untuk membuktikan bahawa PR juga berkeupayaan untuk mentadbir negeri-negeri ini dengan baik.

Kedah di lihat mendahului negeri-negeri di bawah pemerintahan PR di dalam pengurangan hutang kerajaan negeri kepada kerajaan pusat dengan berjaya mengurangkan hutang kerajaan negeri daripada RM2 bilion kepada RM700 ribu sahaja dalam tempoh 1 tahun. Langkah lain yang sedang giat dijalankan oleh kerajaan Kedah adalah untuk memastikan setiap penduduk Kedah mempunyai 1 ekar tanah sendiri untuk diusahakan.

Perak mendahului juara pemberian tanah ini di mana kerajaan negeri Perak telah meluluskan sebegitu banyak permohonan tanah sementara yang dapat juga dinikmati oleh penduduk kampung baru yang rata-rata adalah berketurunan cina. Kerajaan Pusat cuba mneghalang usaha murni ini kerana dibimbangi akan menaikkan nama kerajaan PR apabila PR di lihat banyak mengusahakan projek yang mengarah kepada keperluan rakyat.

Pulau Pinang pula mempunyai Ketua Menteri (KM) yang berkiblatkan Khalifah Umar Abdul Aziz walaupun beliau adalah seorang yang berketurunan cina. Sejarah menunjukkan KM Pulau Pinang kini pernah merengkuk di dalam penjara kerana usaha beliau untuk menyelamatkan seorang gadis melayu di bawah umur daripada nafsu serakah buas seorang bekas KM Melaka. Pulau Pinang mula menyaksikan kerajaannya giat membasmi kemiskinan tegar di dalam bandar yang mencakupi semua ras, tanpa mengira warna kulit.

Bantuan akan disampaikan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira kaum. Inilah antara langkah yang perlu diteruskan oleh PR untuk memenangi hati rakyat yang bakal mengundi semula empat tahun lagi di dalam PRU ke 13. Langkah bijak tersebut perlu diperhebatkan lagi dan berbagai ilham perlu dikeluarkan untuk membantu rakyat sebanyak mungkin.

Anwar dan PR haruslah menubuhkan Kabinet Bayangan, sepertimana yang pernah di buat oleh PAS suatu ketika dahulu, dengan semua portfolio diagihkan kepada pemimpin yang berkeupayaan untuk menjalankan tugasan tersebut. Perdebatan sihat dan cadangan perlu dikeluarkan di parlimen untuk dibahaskan dari masa ke semasa. Retorik politik yang menonjolkan kesalahan pihak lain perlulah dielakkan, kerana, perbuatan sedemikian akan mengundang tindak-balas yang serupa. Perkemaskan jentera pentadbiran dan kotakan janji-janji semasa RPU ke 12 lalu.

Antara janji Anwar adalah beliau akan memanggil kawan-kawan dan rakan perdagangannya untuk masuk dan melabur di Malaysia sekiranya PR menang dan menguasai kerajaan pusat. Beliau membuat janji tersebut di ceramahnya yang pertama bertempat di Langkawi apabila PRU ke 12 diumumkan oleh Abdullah. Mengapa perlu tunggu sehingga memerintah kerjaan pusat? Anwar sepatutnya memberi perhatian penuh untuk memanggil pelabur-pelabur datang dan melabur di kelima-lima negeri di bawah pemerintahan PR. Beliau perlu memajukan negeri-negeri tersebut, walau pun menerima kekangan yang hebat daripada puak BN.

Kemajuan ekonomi yang dikecapi hasil daripada janji Anwar, sekiranya tindakan tersebut di ambil oleh beliau sekarang, akan membuka mata rakyat terhadap keupayaan Anwar untuk mengotakan katanya. Lupakan sementara hasrat untuk memduduki Putrajaya dalam masa terdekat ini, dan hentikan retorik politikus murahan. Empat tahun bukannya suatu jangkamasa yang lama. Sekiranya Anwar dapat memajukan ekonomi negeri-negeri PR, PRU ke 13 akan menyaksikan letusan suara hati rakyat dan akan melebihi daripada tsunami PRU yang ke 12 lalu.

No comments: