Sunday, April 18, 2010

Commander In Chief

Tengahari Sabtu di saluran Astro 702, rancangan Commander In Chief diulang siaran bermula dari episod 1.

Ianya menceritakan bagaimana seorang Presiden Amerika telah mati akibat barah otak dan tempatnya di ganti oleh Naib Presidennya, seorang wanita.

Mengikut jalan cerita tersebut, Naib Presiden ini di lantik hanyalah sebagai satu pernyataan ideologi sahaja, dan dia bukanlah calon sebenar yang akan menggantikan Presiden sekiranya keadaan demikian terjadi.

Walaubagaimana pun, dengan kematian Presiden, wanita berkenaan berkeras untuk menjadi Presiden, walaupun mendapat tentangan daripada pentadbirannya sendiri.

Aku menyorot kepada satu babak yang menunjukkan iltizam wanita ini yang membebaskan seorang penzina yang sudah melahirkan kandungannya daripada menjalani hukuman rejam di Nigeria.

Menggunakan kuasa ketenteraan yang ada padanya, berdasarkan hak kemanusiaan, si penzina ini berjaya dibebaskan oleh tentera Amerika.

Maka, para penentang Presiden baru ini pun terpana dengan caranya yang amat radikal, kerana dia adalah seorang calon bebas, yang tidak terikat dengan mana- mana parti, Republikan mahupun Demokrat.

Kuasa yang dimilikinya dipergunakan sebaik mungkin untuk menghalalkan cara agar mencapai matlamat, hatta sehingga melanggar hak kedaulatan negara lain.

Belum apa-apa lagi, para penonton telah ditarbiahkan secara tidak sedar akan hegemoni dan kekuasaan negara yang terkuat di dunia, dan kita secara tidak langsung, telah di beri gambaran betapa Islam itu kejam dan zalim.

Setahu aku, hukuman yang diperintahkan Allah s.w.t. mempunyai hikmahnya yang tersendiri dan kita hanya perlu beriman dengannya, sebagaimana kita menerima keEsaanNya.

Sekiranya hukuman ini hendak dilaksanakan, terdapat juga garis panduan yang sangat ketat yang perlu dipatuhi, dan hukuman ini berbentuk pengajaran kepada orang lain agar menghindari kesalahan yang terjadi.

Apa yang terjadi kini, kita yang mengaku beriman dengan Allah s.w.t. tidak menerima sepenuhnya ajaran yang diturunkan menerusi pesuruhNya, hanya sekadar mengambil sana separuh dan sini separuh.

Orang akan berkata, ini zaman moden, begitu banyak cabarannya, dan jika undang-undang Islam dilaksanakan, maka, ramailah orang yang kudung tangan berkeliaran di sana sini, dan ramai lagi yang pecah kepala di rejam dengan batu.

Ah, semuanya adalah andaian pemikiran manusia sahaja yang tidak bersandarkan kepada hikmah disebalik hukuman tersebut.

Sebagai hamba, kita tentu berfitrah untuk melakukan kebaikan, hanya Iblis dan syaitan sahaja yang berkehendakkan kemungkaran.

Otak yang sihat tidak akan melakukan kejahatan, apalagi setelah melihat dengan mata kepala sendiri kepada bentuk hukuman yang akan di terima sekiranya kesalahan ini di buat.

Persoalannya, sebagai sebuah negara yang mengaku Islam adalah agama rasminya, apakah yang menhalang Commander In Chief dari melaksanakan perintah Allah s.w.t.? Amerika dan sekutu-sekutunya? Demokrasi?

Tidak takutkah kita bersekongkol dengan juak-juak Comander In Chief apabila kita menobatkan mereka menerusi proses demokrasi yang menghalalkan suara ramai melebihi suara yang sedikit, walaupun suara sedikit tadi adalah benar?

Nauzubillah min zalik. Aku bertaubat atas segala kesalahanku dan berdoa semoga Allah s.w.t. menyelamatkan kita semua dari ancaman fitnah dunia akhir zaman.

No comments: