Wednesday, July 22, 2009

Cadangan Untuk Penambahbaikan PPSMI

PPSMI kini telah menjadi satu isu negara yang memerlukan jalan penyelesaian seperti menarik rambut di dalam tepung. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen telah memaktubkan di dalam perlembagaan berkenaan hak dan kebebasan rakyat untuk membuat pilihan seperti mana negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi.

Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai pilihan untuk memilih bentuk pengajaran yang bakal diterapkan kepada anak-anak mereka. Mungkin bagi mereka yang pernah menghadiri sekolah aliran Inggeris pada tahun 50an dan 60an, mereka mendapati sistem pelajaran pada masa tersebut memberi pilihan kepada rakyat dengan menyediakan sekolah dua aliran, aliran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Mereka yang hendak memasuki sekolah aliran bahasa Inggeris bagaimana pun perlu menduduki peperiksaan kelayakan sebelum dibenarkan memasuki sekolah berkenaan. Antara sekolah aliran Inggeris di kawasan utara pada masa itu adalah Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Sultan Abdul Hamid, dan Sek. Men. Sultanah Asma.

Sistem tersebut telah berjaya melahirkan ramai cendikiawan di dalam dua aliran, di mana, tenaga pengajar yang terlatih adalah mencukupi. Sistem ini juga menekankan keperluan mempelajari bahasa yang hendak dipelajari bermula daripada darjah satu lagi. Ia juga menekankan aspek pertuturan dan penulisan serentak. Pelajar di sekolah berkenaan dikehendaki bertutur dalam bahasa aliran sekolah tersebut, dan pengawas di beri kuasa untuk menangkap dan mendenda pelajar yang melanggar undang-undang ini. Maka tidak hairanlah apabila mereka yang keluar daripada sekolah aliran Inggeris, walaupun hanya sehingga darjah enam sahaja, dapat pula menjadi guru dan mengajar murid-murid baru dalam masa yang sama.

Sistem yang telah berjaya ini telah di ubah oleh pencinta bahasa dan memaksa kerajaan untuk menggunakan sistem aliran bahasa kebangsaan. Namun, sekolah Cina dan India di beri kebebasan untuk memilih bahasa ibunda mereka. Maka, bermula dari zaman tersebut, pelajar-pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa kedua mula berleluasa dan natijahnya, terpinggir apabila memasuki bidang pekerjaan.

Seharusnya, sistem dua aliran ini harus di kaji semula, dan sekiranya mendatangkan kebaikan jangka masa panjang, ianya mestilah digunakan kembali. Sekurang-kurangnya, rakyat Malaysia di beri pilihan untuk menentukan masa depan anak-anak mereka di dalam bidang pelajaran. Selebihnya, terserah kepada daya usaha pelajar-pelajar tersebut untuk cemerlang di dalam bidang yang mereka pelajari.

No comments: