Thursday, July 30, 2009

Black Maria 1 Ogos......

1 hb Ogos adalah suatu tarikh yang pasti melakarkan sejarah di Malaysia. Pada tarikh tersebut, Search akan mengadakan konsert tertutup mereka di Kuala Lumpur pada waktu malam. Siangnya, satu perarakan secara aman akan diadakan bermula dari tengah Kuala Lumpur sehingga ke Istana Negara oleh dua pihak melalui jalan dan masa yang sama. Satu adalah kumpulan anti-ISA, manakala satu lagi adalah kumpulan yang menyokong ISA.

Resipi kekacauan kini sedang membuak, menanti kedatangan tarikh tersebut, yang pasti akan menyaksikan pertembungan dua kumpulan ekstrim berdemonstrasi ke Istana Negara. Persoalan yang bermain difikiran sekarang adalah, bagaimana pihak polis dapat memberi kebenaran, atau pun, secara tidak langsung membenarkan perarakan ini berlangsung. Secara normal, pihak ini pasti bertelagah antara satu sama lain, dan kemungkinan pertumpahan darah boleh terjadi.

Kelihatan pertembungan ini adalah antara ras kerana kedua-dua pihak dijaguhi oleh dua kelompok bangsa yang secara majoritinya berbeza, dan dikhuatiri, tragedi 13 Mei boleh berulang kembali. Para ahli politik seharusnya meletakkan perbezaan pendapat ke tepi dan menghalang dengan sedaya upaya agar perancangan demonstrasi ini tidak berjalan, kerana kemudaratan yang bakal terhasil tidak akan menguntungkan mana-mana pihak.

Kekalutan yang terhasil bakal merudumkan lagi suasana ekonomi Malaysia, yang kini sedang mengharungi kesuraman kegawatan dunia, tambahan lagi dengan ketakutan terhadap H1N1, yang pastinya menyaksikan penurunan jumlah pelancong ke Malaysia dalam tiga suku pertama. Najib, Anwar, Hadi dan Lim perlu bersatu hati di dalam hal ini. Matlamat tidak menghalalkan cara, kerana banyak lagi ruang yang boleh digunakan untuk menyelesaikan isu ini.

Penggunaan arbitrator merupakan jalan terbaik agar kekalutan yang tercipta dapat dihindarkan secara aman oleh semua pihak. Semoga bumi Malaysia yang tercinta ini terselamat daripada bala bencana, yang dijanjikan tuhan kepada mereka yang lalai serta tidak mengikut petunjukNYA.

No comments: