Saturday, November 21, 2009

Bersyukurlah

Di bumi bertuah ini, jarang kedengaran anak-anak kurus melidi dan mati kelaparan. Kebanyakan anak-anak akan menhabiskan 12 tahun melalui sistem pembelajaran yang membolehkan mereka menguasai 3M. Amat jarang kedengaran anak-anak yang terpaksa menjadi buruh paksa, apalagi tidak diberikan peluang mempelajari ilmu dunia dan akhirat.

Di bumi yang bertuah ini, sesiapa sahaja dapat mengaut sebanyak mana harta kekayaan yang ada, selagi mereka berakal dan berkerja keras ke arah mencapainya. Mereka yang malas dan sentiasa mencari alasan di atas ketidak-upayaan mereka menjana pendapatan yang berpatutan adalah mereka yang sentiasa tidak puas dengan apa yang mereka ada.

Di bumi yang bertuah ini, jarang kedengaran umat Islam bersyukur dengan limpah kurnia dari Ilahi, dan membantu sesama saudara seislam mahu pun bukan Islam. Para ulama bagaikan bercakaran di antara satu sama lain, seolah-oleh, kaum puak mereka sahaja yang benar. Banyak yang mengarah kepada perbezaan pendapat, dan jarang yang bersatu di atas kesamaan ibadat.

Di bumi yang bertuah ini, malapetaka seperti gempa bumi dan letusan gunung berapi hampir tiada walau pun dikelilingi oleh lingkaran api Pasifik. Negara jiran seperti Indonesia dan Philipina seolah-olah menelan segala bencana yang kemungkinan terarah kepada bumi yang bertuah ini.

Di bumi yang bertuah ini, makanan melimpah ruah, sehinggakan menjadi pesta tatkala umat Islam menyambut Ramadhan, sehingga melupai tujuan asal berpuasa. Azan masih kedengaran di corong-corong masjid dan surau, menandakan masih ada yang patuh dan mengikuti seruan azan. Sesiapa sahaja bebas untuk melaksanakan tuntutan agama.

Di bumi yang bertuah ini, yang sentiasa dilimpahi rahmatNya, seharuslah kita banyak bersyukur ke atas segala nikmat yang diberikan kepada kita dalam pelbagai bentuk. Jarang kelihatan mereka yang tidak berumah menghuni kawasan kosong di bawah jambatan, atau rumah tinggal kosong kerana tiada pekerjaan.

Sesungguhnya, ini merupakan catatan terakhir kalam xdakakai dan sebagai hambaNya, menjalankan tugas dan tanggung-jawab keimanan untuk menegur ulil amri, samada secara selemah-lemah iman, dengan tidak menyukai di hati atas perbuatan yang tidak baik para ulil-amri, atau pun menegur dengan perkataan mahu pun perbuatan.

Sesungguhnya, hambaMu ini telah menjalankan tugasnya, dan hambaMu ini telah berlepas tanggung-jawab ke atas tuntutan keimanan untuk menyuarakan pendapat dan pandangan untuk kebaikan bumi yang bertuah ini.

Sesungguhnya, segala yang baik itu daripada Allah s.w.t. dan segala kelemahan dan keburukan adalah daripada sifat hambaMu yang tidak berdaya ini. Kiranya berhadapan akan ku diarashMu ya Allah suatu masa nanti, semoga apa yang telah hambaMu ini lakukan menjadi pelindung sekiranya hambaMu ini di tanya, "Apakah yang telah kau buat untuk menasihat dan memberi teguran kepada ulil-amri yang tidak benar?".

Sesungguhnya, mati itu adalah pasti untuk semua. Di akhir kalam, inginku memohon ampun dan maaf ke atas segala kekurangan atau teguran yang keterlaluan, yang ku lakukan, hanya sebagai menyahut seruan Ilahi di dalam menegakkan yang haq. Wassalam.

1 comment:

Anonymous said...

Bila nk mai bkt antarabangsa?La ni dh ada tempat lepak baru...