Sunday, October 25, 2009

Ketam Batu Ketam Bunga

Apa kena mengena ketam batu dan ketam bunga. Cerita ini diperolehi menerusi seorang tua yang bercerita berkenaan haiwan ini kepada rakan penulis. Orang tua ini berkata, kalau kita lihat, orang Cina suka makan ketam batu, manakala orang Melayu suka makan ketam bunga.

Mengikut cerita orang tua ini, apabila kita meletakkan sekumpulan ketam batu di dalam bakul, ketam yang pertama akan bersedia untuk ketam yang lain panjat ke atasnya, dan seterusnya, menolong ketam-ketam lain melakukan perkara yang serupa, sehinggalah ke semuanya dapat keluar dari bakul tersebut.

Manakala, apabila berlaku kejadian yang serupa kepada ketam bunga, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Apabila seekor ketam cuba untuk keluar dari bakul berkenaan, ketam-ketam lain akan menariknya ke bawah dan memastikan ketam berkenaan tidak dapat keluar daripada bakul tersebut.

Kemungkinan, gene ketam-ketam ini juga diturunkan kepada mereka yang memakannya, maka, cuba-cubalah pula memakan ketam batu!

Saturday, October 24, 2009

Sejadah Berdiri

Kalaulah benar, sejadah yang disiarkan menerusi berita TV3, berdiri di surau SK Tok Sangkut, Pasir Mas, iktibar yang dapat di ambil adalah, manusia mestilah lebih lagi. Namun sekiranya kejadian tersebut adalah perbuatan manusia, ianya juga menjurus ke arah mengingatkan sesama kita untuk sujud dan bertakwa kepada Allah s.w.t.

Secara saintifiknya, perkara berdirinya sejadah ini perlulah direkodkan untuk mengetahui kesahihan perkara tersebut, di mana, kejadian dari mula proses sejadah tersebut membentuk kepada apa yang dapat di lihat di kaca tv. Sekiranya rekod bagaimana kejadian ini terbentuk tidak dapat diadakan, maka sains tidak dapat menerimanya secara empirikal ( inilah contoh bahasa malaysia yang telah dimelayukan ).

Berita kita jarang menyiarkan berita yang menyediakan peluang kepada rakyat kebanyakan, dan juga, berita kejayaan yang bakal membakar semangat orang lain yang ingin mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya ini.

Berita menjadi sensasi apabila ada wakil rakyat melawat rakyat termiskin dan berjanji untuk memberikan bantuan, dan acap kali pula, berita-berita sebegini disiarkan dekat dengan tempoh pilihanraya, samada pilihanraya kecil atau pilihanraya umum.

Nilai berita di lihat daripada bagaimana ianya menyentuh emosi para penonton. Berita yang bernilai pula acapkali berupa peringatan seperti kemalangan, juga betapa pihak jabatan kerajaan yang menjalankan tugas mereka dengan mengadakan sekatan-sekatan jalanraya ke atas penunggang motosikal yang berkelakuan membahayakan pemandu lain.

Bukankah itu tugas hakiki jabatan berkenaan, kenapa pula perlu dihebohkan sebagai nilai berita. Sebagai kesimpulan, berita Malaysia perlu mencorakkan acuannya yang  tersendiri, tanpa mengikut mana-mana etika berita dari negara-negara lain. Barulah ketelusan berita dapat diadakan dan kita dapat mencipta sesuatu yang baru di dalam bidang pemberitaan.

Friday, October 23, 2009

Bekas 2 ahli DUN PKR Perak bebas?

Isu rasuah bekas 2 ahli DUN PKR di Perak mencuit hati. Saksi utama telah memberi kenyataan yang bercanggah ke atas pertuduhan dengan mengaku berbohong kepada SPRM. Maka, mahkamah berkemungkinan akan membuang kes tersebut berdasarkan keterangan terbaru.

Najib sangat licik, dan kelicikan tersebut terserlah di dalam kes ini. Diharap, agar kelicikan yang tiada bandingannya ini dapat disalurkan pula kepada penjanaan ekonomi rakyat agar bukan sahaja dapat memanafaatkan dirinya sahaja, malah, kepada rakyatnya jua.

Jadi seperti Tun, walau pun kekayaannya melimpah ruah, mereka yang di sekeliling beliau dan rakyat Malaysia secara amnya, menikmati kek ekonomi yang melimpah-ruah. Ramai anak-anak Melayu yang berjaya di hantar oleh pentadbiran Tun melanjutkan pelajaran ke luar negara!

Belanjawan Berhemah

1Malaysia sedang menantikan apa yang bakal dihadiahkan oleh Najib kepada rakyat pada pembentangan belanjawan beliau tidak lama lagi.

Sekiranya motto Najib diguna-pakai, "Rakyat Didahulukan, Prestasi Diutamakan", rakyat akan menikmati durian runtuh seperti pengecualian cukai pendapatan, penurunan cukai jalan, pengurangan tol, menaikkan bantuan (subsidi?) minyak, dan lain-lain lagi penurunan yang bakal melegakan rakyat.

Manakala prestasi yang perlu diutamakan adalah tahap KPI jabatan-jabatan kerajaan meningkat, dengan lebih banyak projek untuk kebaikan rakyat diadakan, serta memastikan kuasa melipat-ganda (multiplying effect) ekonomi bertambah.

Janganlah pulak di dalam proses tersebut, prestasi poket segelintir kelompok tertentu yang diutamakan pulak. Dan sudah pasti, perbelanjaan ini akan menjadi defisit, tetapi kenapa perlu gusar? Tok guru demokrasi sendiri masih lagi bernafas walaupun dibebani dengan defisit melebihi US$3 trillion.

Apa yang mereka lakukan, hanyalah mencetak lebih banyak US$ untuk kegunaan mereka sendiri, tanpa perlu menyandarkannya kepada nilai emas, seperti sebelum zaman Brenton Wood.

Maka berbondong-bondonglah negara-negara lain membeli kertas yang di cetak dan diletakkan nilai sahaja ke atas kertas tersebut oleh tok guru ini, supaya ekonomi dunia dapat berputar!

Jadi, gunakanlah sepenuhnya belanjawan kali ini untuk membuktikan cogankata anda adalah benar.

Thursday, October 22, 2009

UMNO dan pengagihan kekayaan

Seorang penyokong setia UMNO melontarkan cadangan agar kepimpinan UMNO bermula dari Najib seharusnya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan menubuhkan satu tabung amanah 1Malaysia (TA1M).

Semua pemimpin BN yang pernah mengecapi nikmat projek kerajaan samada dalam bentuk perlaksanaan kerja atau pun terutama sekali komisen, hendaklah memasukkan dana ke dalam tabung berkenaan dan mereka semua dikehendaki benar-benar menyesali perbuatan mereka yang lampau, sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan.

Tabung berkenaan hanya akan digunakan untuk projek kesejahteraan rakyat secara langsung, di mana, manafaatnya akan dinikmati terus oleh rakyat. Ketelusan perbelanjaan tabung ini harus di pantau oleh sebuah suruhanjaya yang berkecuali.

Tindakan drastik ini secara keseluruhannya adalah satu langkah proaktif yang bakal membersihkan nama pemimpin-pemimpin tersebut dan rakyat Malaysia yang secara amnya sangat bermurah hati sudah tentu mengalu-alukan langkah ini diikuti oleh tindakan memaafkan kesilapan dan kesalahan yang telah sudah.

BN hanya ada kurang dari 2 tahun untuk memenangi hati rakyat. Rakyat kini bukan sahaja ingin melihat sebuah kerajaan yang kelihatan bersih, tetapi sebenar-benarnya bersih. Para pengundi pada masa kini bukannya mengundi PR kerana menyukai gerakan tersebut, tetapi kerana benci dan meluat dengan kerajaan BN.

Najib sememangnya mengerti dan memahami kehendak hati para pengundi, tetapi beliau tidak akan dapat melaksanakannya berseorangan. Keseluruhan pucuk pimpinan BN dari presiden sehinggalah kepada ahli biasa, perlu menyokong Najib demi menyelamatkan sebuah negara yang aman, makmur dan merdeka. Sumbanglah untuk TA1M!

Sunday, October 11, 2009

Desirkata

JAG, SIS dan Ridhuan Tee Abdullah

Islam adalah agama syumul yang diakui oleh Allah sebagai penutup segala cara hidup yang telah diturunkan oleh Allah. Ridhuan dalam nukilan mingguannya menerusi Mingguan Malaysia mempertahankan hukum Allah, bilamana, sekiranya terdapat pertembungan di antara kepentingan Allah dan kepentingan hak asasi manusia, sebagai umat Islam, kepentingan Allah perlu ditegakkan. Maka, adalah dikhuatiri perjuangan SIS yang membawa nama Islam (Sisters In Islam) dengan menyokong JAG membabi buta di dalam kes Kartika, akan menghakis dari segi akidah pemimpin tertinggi SIS.

Ada pihak menyatakan bahawa, Islam itu amatlah bersederhana di dalam segala segi, hinggakan sekiranya pembunuh dimaafkan oleh keluarga mangsa, pembunuh berkenaan akan dibebaskan, di mana, Islam menonjolkan toleransi yang amat tinggi di dalam hubungan hablum minannas sebelum hablum minallah mengambil tempatnya. Dan, Allah juga MAHA pengampun, kecuali perkara yang berkaitan dengan syirik kepadaNYA. Subhanallah.

Terdapat perlanggaran bilamana Islam kini di serang dari pelbagai sudut, dan penganut Islam samada secara sedar atau tidak, terpalit dengan permainan licik Iblis dan Syaitan, dan juga manusia bertopengkan kedua-duanya. Najib perlu membuat keputusan yang tepat di dalam hal ini supaya kelak tidak dipersoalkan di hadapan Allah berkenaan keputusan beliau nanti.

Najib Hadiah Rumah untuk Rakyat

Syabas kepada Najib kerana telah merealisasikan ikrar 100 hari beliau untuk menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat termiskin. Sebanyak 44,146 rumah awam akan di jual kepada rakyat Malaysia. Kini, Najib perlu memastikan ketelusan di dalam penjualan rumah-rumah ini, dan menghebahkannya di dada-dada akhbar berkenaan nama-nama pemohon yang berjaya.

Janganlah tindakan yang murni ini di cemar oleh tindakan orang bawahan yang menangguk di air yang keruh, bilamana, pada masa-masa yang lepas, rumah-rumah ini hanya berkitar di kalangan pengikut UMNO sahaja, dan terdapat jugak Dato'-Dato' yang memiliki rumah DBKL untuk disewakan pula kepada orang lain. Akibatnya, yang kaya semakin kaya, yang miskin terus tertindas.

Najib di harap akan ikhlas di dalam pemberiannya, kerana rakyat kini amat kritikal di dalam penilaian mereka, terutama sekali kumpulan muda berumur 40 tahun ke bawah, yang merupakan majoriti pengundi pada PRU ke 13 nanti.

UMNO akan tampil berbeza, Muhyiddin

Muhyiddin Yassin dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia menyatakan UMNO perlu berubah atau bersedia untuk dikuburkan. Mahathir sudah lama membuat teguran berkenaan perkara ini menerusi blog beliau. PR pula dari masa ke semasa, sentiasa mengetengahkan kebobrokan UMNO pada masa kini dan lampau. Sudah begitu banyak teguran di beri kepada pengikut UMNO, termasuk Nik Aziz yang menyatakan penyokong UMNO adalah ahli neraka, kerana memperjuangkan dasar assobiyah.

UMNO perlu disakai sebelum dapat berubah, kerana dengan kekalahan teruk di dalam PRU ke 12, kebanyakan para pemimpinnya masih terbawa-bawa dengan sikap ego mereka yang lama. Tidak di kira lagi dengan rasuah yang berleluasa sehinggakan Isa Samd yang telah terbukti melakukan rasuah politik masih boleh lagi di pilih sebagai calon PRK di Bagan Pinang. Samada Najib tidak menyedari tanda-tanda terkuburnya UMNO nanti, atau beliau masih lagi berada di zon selesa.

UMNO bukan hanya perlu menampakkan kebersihannya, tetapi benar-benar bersih, sekiranya masih ingin menerajui Malaysia selepas PRU ke 13. Jika sekadar lakonan yang dipertontonkan, bersedialah untuk menhidupkan jet peribadi masing-masing apabila Malaysia di perintah oleh PR nanti.

MCA tolak Presiden dan Timbalan Presiden

MCA telah membuat kejutan dengan menolak Presiden dan Timbalan Presiden sedia ada. Masyarakat kiasu seperti yang digambarkan oleh Ridhuan Tee Abdullah ini sangat peka mengenai iklim politik semasa dan tidak teragak-agak untuk membuat tindakan drastik sekiranya perlu. Kejutan ini memang di jangka apabila kuasa ketiga bersedia untuk menyelamatkan MCA setelah mempelajari daripada kekalahan semasa PRU ke 12.

Ahli UMNO juga mesti mengambil tindakan yang drastik di dalam perhimpunan agungnya yang bakal diadakan pada 13 Oktober nanti, itu pun sekiranya mereka mengambil pelajaran daripada sejarah. Lihat bagaimana masyarakat kiasu ini menegakkan kebenaran sekiranya kebatilan timbul. Sebagai orang Islam, ahli UMNO perlu lebih nekad daripada apa yang telah dilakukan oleh ahli MCA.

Friday, October 9, 2009

Mahathir, Anwar, Nik Aziz, Abdullah, Najib Marah

Apa kaitannya nama-nama di atas dengan Najib yang marah. 3 nama yang pertama itu merupakan idaman pimpinan PR untuk melengkapkan teori RAHMAN, namun apa yang berlaku adalah Mahathir, Abdullah dan Najib mengakhiri teori tersebut.

Sayugia, Najib amat marahkan si Anwar yang selalu membuat honar pada kacamata Najib. Tetapi sekiranya di lihat daripada kesan psikologi, seorang bapa akan memarahi anaknya kerana si bapa menyayangi anak tersebut. Sekiranya si bapa tidak menyukai anaknya, jangankan marah, tegur pun tidak.

Apabila Mahathir menegur dan membelasah Abdullah, ianya mungkin terbit daripada perasaan sayang terhadap UMNO. Begitu juga apabila masih ada lagi yang menegur kita, bermakna, penegur tersebut mengambil berat berkenaan orang yang di tegur. Jadi, tidak perlulah kita marah.

Teguran tersebut sepatutnya menjadi cermin kepada kita untuk memperbaiki lagi apa-apa yang tidak kena dan mengarah kepada kebaikan. Sayugia di dalam Islam, seseorang itu disarankan untuk bermuhasabah diri sentiasa, dan mendengar teguran daripada sesiapa pun. Namun, jangan di lihat siapa yang menegur, tetapi ambillah inti pati daripada teguran tersebut sebagai penambah-baikan kepada diri sendiri.

Najib tidak perlu merasa marah. Rakyat sebenarnya marah dengan ketidak-adilan yang berlaku di bumi Malaysia ini, akibat daripada kerakusan sang pemimpin pada masa lepas. Sekiranya Najib bermuhasabah diri, dan cuba memperbetulkan persepsi negetif rakyat kepadanya, kemungkinan besar rakyat Malaysia dapat memaafkan beliau.

Ingatlah Najib, hidup kita tidak berakhir di sini sahaja. Masih ada soalan yang bakal di tanya 2 malaikat sebaik sahaja kita bersemadi di rumah persinggahan ynag besarnya sekadar 4 kaki lebar dengan 6 kaki panjang dan dalam. Allah masih membuka pintu taubat kepada hambaNYA selagi nyawa tidak melepasi halkum, maka, bertaubatlah.

Sekiranya harta yang Najib cari, rasanya, sudah terlalu banyak dikumpulkannya, dan sudah tentu dibelanjakan bagaimana akan di tanya juga olehNYA. Namun, harta tersebut tidak mungkin habis sepanjang hayat Najib dan 7 keturunannya.

Sekiranya kuasa yang Najib dan Rosmah ingini, nah, sekarang, anda berdua merupakan manusia yang paling berkuasa di Malaysia. Namun, kuasa tersebut boleh hilang sekiranya rakyat benci dan meluat kepada anda berdua.

Maka, mengakhiri kalam, Najib seharusnya bermuhasabah diri sebanyak yang mungkin dan membetulkan keadaan yang semakin meruncing kini. Sudah banyak teguran yang diarahkan kepada Najib dan terlalu banyak maklumat yang telah diketahui oleh beliau. Inilah masanya Najib membuat pendirian yang tegas. Membetulkan dirinya dan seterusnya, membetulkan Malaysia mengikut acuan Islam yang sebenar.

Monday, October 5, 2009

Bagan Pinang Tumbuk Aziz

Aziz mendakwa telah di tumbuk oleh penyokong parti pembangkang semasa hari pencalonan di Bagan Pinang dan telah di sangkal oleh Nik Aziz dengan mendakwa pula, sesiapa sahaja boleh memakai baju penyokong sesuatu parti; sehingga terbukti, tiada apa yang boleh disahkan.

Komen : Ketelusan perlu di dalam segala segi. BN selalu melaung-laungkan perkataan "selagi belum terbukti di mahkamah, seseorang itu tidak akan didapati bersalah". Maka, sekiranya telah terbukti, tetapi telah menjalankan hukuman, seseorang itu telah pun bersih dari kesalahan tersebut, dan Isa Samad pun menjadilah calon Bagan Pinang!