Showing posts with label PPSMI. Show all posts
Showing posts with label PPSMI. Show all posts

Thursday, July 23, 2009

Potongan (snippet ?)

Saudara Mola

Anda menyarankan agar nama halaman maya ini, iaitu X dAk AkAi, di ubah kerana penggunaan ayat-ayat seperti ini akan menjadi ikutan pelajar-pelajar zaman sekarang. Buat pengetahuan saudara, penggunaan ayat-ayat di atas adalah suatu olahan abstrak, yang mempunyai keseniannya yang tersendiri. Sekiranya seni tidak dibenarkan bercambah, maka, kreativiti juga akan terhenti.

Banyak pihak perlu melakukan sesuatu terhadap jenama barangan mereka seperti Celcom Xpax, FedEx dan lain-lain jenama yang melanggar nahu dan pengejaan bahasa hanya untuk memenuhi kehendak saudara.

AP (Automotive Permits)

Rakyat marhain mempunyai tanggapan bahawa di dalam isu AP, pemegang AP adalah penyangak yang menyonglap wang rakyat. Sebenarnya, penyangak yang paling besar dan bernombor wahid di dalam kes AP ini adalah pihak MITI sendiri! Beberapa pegawai yang berkepentingan telah memainkan peranan mereka dengan memastikan AP berada di bawah kekuasaan mereka dengan berselindung di sebalik nama pemegang AP.

PPSMI

Kerajaan yang demokratik perlu membenarkan rakyatnya membuat pilihan. Walaubagaimana pun, apa yang penting bukanlah akta atau perancangan, yang pastinya sangat canggih semasa dibentangkan kepada jemaah menteri, tetapi perlaksanaan dan perkakasan yang diperlukan untuk memastikan sistem pembelajaran Malaysia berjaya.

Jerebu

Kuala Lumpur di landa jerebu untuk ke sekian kalinya. Persidangan demi persidangan dihadiri oleh menteri alam sekitar rantau Asean dan banyak keputusan telah dikeluarkan. Asean perlu menyediakan penyelesaian secara percuma kepada Indonesia sekiranya benar-benar ingin menghapuskan gejala ini. Pembakaran terbuka adalah satu-satunya kos terendah untuk membaik-pulih kawasan pertanian yang ada sebagai pilihan petani di sana.

Asean perlu mendapatkan dana daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan menyediakan mesin dan peralatan secara percuma kepada pengusaha tanaman agar tidak lagi membakar ladang mereka atau pun hutan yang hendak di teroka. Hasil sampingan daripada bahan buangan penerokaan ladang atau pembersihan kawasan ladang sedia ada mesti di tukar kepada suatu produk kitar semula yang mempunyai nilai dagangan untuk mengimbangi kos operasi mesin-mesin tersebut.

Wednesday, July 22, 2009

Cadangan Untuk Penambahbaikan PPSMI

PPSMI kini telah menjadi satu isu negara yang memerlukan jalan penyelesaian seperti menarik rambut di dalam tepung. Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi berparlimen telah memaktubkan di dalam perlembagaan berkenaan hak dan kebebasan rakyat untuk membuat pilihan seperti mana negara-negara lain yang mengamalkan demokrasi.

Rakyat Malaysia sepatutnya mempunyai pilihan untuk memilih bentuk pengajaran yang bakal diterapkan kepada anak-anak mereka. Mungkin bagi mereka yang pernah menghadiri sekolah aliran Inggeris pada tahun 50an dan 60an, mereka mendapati sistem pelajaran pada masa tersebut memberi pilihan kepada rakyat dengan menyediakan sekolah dua aliran, aliran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Mereka yang hendak memasuki sekolah aliran bahasa Inggeris bagaimana pun perlu menduduki peperiksaan kelayakan sebelum dibenarkan memasuki sekolah berkenaan. Antara sekolah aliran Inggeris di kawasan utara pada masa itu adalah Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kolej Sultan Abdul Hamid, dan Sek. Men. Sultanah Asma.

Sistem tersebut telah berjaya melahirkan ramai cendikiawan di dalam dua aliran, di mana, tenaga pengajar yang terlatih adalah mencukupi. Sistem ini juga menekankan keperluan mempelajari bahasa yang hendak dipelajari bermula daripada darjah satu lagi. Ia juga menekankan aspek pertuturan dan penulisan serentak. Pelajar di sekolah berkenaan dikehendaki bertutur dalam bahasa aliran sekolah tersebut, dan pengawas di beri kuasa untuk menangkap dan mendenda pelajar yang melanggar undang-undang ini. Maka tidak hairanlah apabila mereka yang keluar daripada sekolah aliran Inggeris, walaupun hanya sehingga darjah enam sahaja, dapat pula menjadi guru dan mengajar murid-murid baru dalam masa yang sama.

Sistem yang telah berjaya ini telah di ubah oleh pencinta bahasa dan memaksa kerajaan untuk menggunakan sistem aliran bahasa kebangsaan. Namun, sekolah Cina dan India di beri kebebasan untuk memilih bahasa ibunda mereka. Maka, bermula dari zaman tersebut, pelajar-pelajar yang tidak dapat menguasai bahasa kedua mula berleluasa dan natijahnya, terpinggir apabila memasuki bidang pekerjaan.

Seharusnya, sistem dua aliran ini harus di kaji semula, dan sekiranya mendatangkan kebaikan jangka masa panjang, ianya mestilah digunakan kembali. Sekurang-kurangnya, rakyat Malaysia di beri pilihan untuk menentukan masa depan anak-anak mereka di dalam bidang pelajaran. Selebihnya, terserah kepada daya usaha pelajar-pelajar tersebut untuk cemerlang di dalam bidang yang mereka pelajari.

Tuesday, July 21, 2009

PPSMI diulangi

Setelah kerajaan bercadang memansuhkan PPSMI, tiba-tiba kedengaran suara-suara yang menangisi kematian PPSMI serta mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula keputusan tersebut. Di samping itu juga, Kementerian Pelajaran telah membuka nombor talian cadangan atau pun aduan berkenaan PPSMI untuk menerima pendapat orang ramai berkenaan langkah pemansuhan ini.

Kerajaan nampaknya masih tidak mempelajari daripada sejarah mengenai menukar semula keputusan yan telah dicapai oleh jemaah menteri, tanpa mengambil kira kos tenaga, masa dan duit ringgit yang telah dikeluarkan untuk memansuhkan PPSMI. Kini, apabila kerajaan membuka talian cadangan dan aduan tersebut, langkah ini di lihat seperti hendak menghidupkan semula PPSMI, tetapi dalam bentuk lain.

Rakyat, sayugia, janganlah dipersalahkan apabila berbicara bagaimana struktur dan perjalanan Kementerian Pelajaran bertukar angin apabila kementerian tersebut menerima menteri baru. Rakyat juga akan terpalit dengan konotasi negetif apabila akan mengaitkan sebarang langkah penukaran PPSMI kepada perancangan menteri baru untuk menjadikan isu ini sebagai mesin mencetak duit.

Bayangkan, kontrak buku baru yang bakal keluar. Adakah buku lama tidak lagi relevan? Adakah perlu matapelajaran baru, yang bakal menyaksikan Bahasa Inggeris digunakan sepenuhnya di dalam matapelajaran tersebut? Kita hanya dapat melihat dan menjadi penyokong pinggiran, di mana, kebanyakan kata putus akan ditentukan oleh pihak jemaah menteri. Maka, rakyat sekali lagi akan memerhatikan tingkah laku menteri pelajaran baru, samada langkahnya sebagai pahlawan, atau pun langkahnya sumbang.

Sunday, March 8, 2009

Demo anti-PPSMI dihujani gas polis

Perarakan anti-PPSMI yang berlangsung sebentar tadi mendapat tamparan hebat apabila pihak polis simpanan persekutuan menempatkan beberapa trak semburan air di beberapa kawasan berdekatan dengan masjid negara.

Pihak polis telah menyembur air dan gas pemedih mata kepada para pengikut perarakan tersebut yang menyaksikan juga sasterawan negara, A. Samad Said mengesat airmata akibat terkena gas pemedih mata.

Amat memilukan apabila bantahan secara aman serta diperkenankan oleh DYMM Sultan Mizan untuk dihantar kepada baginda di Istana Negara telah dianggap sebagai perhimpunan haram oleh pihak Syed Hamid. Demokrasi tidak ujud di bumi Malaysia, yang wujud hanyalah demokrasi terpilih.

Era kebebasan bersuara telah berkubur di dalam kamus politik negara tercinta ini. Mana mungkin negara yang melaungkan kebebasan bersuara menghalang perhimpunan dan perarakan secara aman, serta diperkenankan oleh pucuk pimpinan negara, menyemburkan air serta gas pemedih mata kepada rakyatnya sendiri.

Sedarlah, kezaliman sebegini akan menambahkan lagi kebencian rakyat kepada pemerintah kini dan akan mempercepatkan lagi proses perkuburan UMNO.

Monday, March 2, 2009

PPSMI, 7 Mac 2009

Bahasa jiwa bangsa. Bagaimanakah jiwa sesuatu bangsa dapat dihayati? Salah satunya adalah melalui bahasa. Di Malaysia, Bahasa Malaysia telah dikesampingkan dalam melonjak bahasa tersebut sebagai bahasa utama sepertimana termaktub di dalam perlembagaan yang menyatakan bahawasanya Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi.

Salah satu sejarah yang merobek kedaulatan bahasa masa kini adalah Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik ( sepatutnya di tulis ilmu hisab) di dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kesan 6 tahun PPSMI dilaksanakan telah di terjemah kepada penurunan gred markah terbaik ke tahap yang tidak pernah di lihat.

Jika diamati, keunggulan sesuatu negara itu tidak terletak kepada kemampuan rakyat mereka berbahasa inggeris atau pun belajar mata pelajaran penting di dalam bahasa asing. Contoh terdekat adalah Indonesia dan Thailand. Kedua-duanya menggunakan bahasa ibunda mereka. Begitu juga jika kita melihat jauh sedikit, seperti Korea, Taiwan, China, Jepun, India dan Pakistan. Ada di antara negara-negara ini telah pun begitu maju sehingga dapat melancarkan satelit ke angkasa.

Mengapakah kita telah mencarca-merbakan minda dan keupayaan anak bangsa Malaysia kita menguasai Ilmu Hisab dan Sains di dalam bahasa ibunda mereka? Kita hanya memerlukan segelintir orang kita untuk mempelajari apa-apa sahaja bentuk ilmu sains di negara luar, dan pulang mencurah bakti ke negara kita dengan menterjemahkannya ke dalam bahasa ibunda lalu diajarkan kepada mahasiswa kita.

Kita hanya perlu belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran bahasa pilihan, yang antara lain, akan juga menyenaraikan lain lain bahasa sebagai pilihan pelajar. Maka, bahasa ibunda akan menjadi bahasa pencipta kelak apabila kita telah dapat melahirkan seramai mungkin saintis yang berupaya menjana kajian yang terbaik menerusi sains dan berjaya juga mencipta nama-nama baru di dalam bahasa ibunda untuk diketengahkan kepada masyarakat sains dunia. Seperti mana Jepun yang dapat menguasai dunia menerusi ekonominya.

Pada 7 hb. Mac, 2009 nanti, akan menyaksikan gelombang amokan bangsa Melayu yang sudah tidak tertahan dengan tahap penindasaan dan penganiayaan yang dihasilkan oleh PPSMI. Kerajaan harus mendengar suara hati rakyat. Ianya tidak berkesan, namun mengapa harus diteruskan. Adakah kerana ingin mengisi kantong beberapa kroni yang berjaya menghasilkan buku-buku PPSMI, lalu jeritan batin rakyat tidak dipedulikan? Semuanya seolah-olah berkisar disekeliling wang ringgit. Perjuangan bangsa di pijak dan di injak-injak seolah-olah tiada nilainya langsung di mata pemerintah.

Pemerintah merasakan bahawa ini semua akan diperbetulkan secara tabie apabila, lama kelamaan, rakyat hanya mendiamkan diri dan pelajar-pelajar dapat mengikuti sepenuhnya pengajaran tersebut seperti mana yang di rancang oleh mereka. Sedarlah, ini hanyalah khayalan Si Luncai.