Showing posts with label malaysia. Show all posts
Showing posts with label malaysia. Show all posts

Thursday, October 22, 2009

UMNO dan pengagihan kekayaan

Seorang penyokong setia UMNO melontarkan cadangan agar kepimpinan UMNO bermula dari Najib seharusnya memohon maaf secara terbuka kepada seluruh rakyat Malaysia dan menubuhkan satu tabung amanah 1Malaysia (TA1M).

Semua pemimpin BN yang pernah mengecapi nikmat projek kerajaan samada dalam bentuk perlaksanaan kerja atau pun terutama sekali komisen, hendaklah memasukkan dana ke dalam tabung berkenaan dan mereka semua dikehendaki benar-benar menyesali perbuatan mereka yang lampau, sekiranya terdapat sebarang kesalahan yang dilakukan.

Tabung berkenaan hanya akan digunakan untuk projek kesejahteraan rakyat secara langsung, di mana, manafaatnya akan dinikmati terus oleh rakyat. Ketelusan perbelanjaan tabung ini harus di pantau oleh sebuah suruhanjaya yang berkecuali.

Tindakan drastik ini secara keseluruhannya adalah satu langkah proaktif yang bakal membersihkan nama pemimpin-pemimpin tersebut dan rakyat Malaysia yang secara amnya sangat bermurah hati sudah tentu mengalu-alukan langkah ini diikuti oleh tindakan memaafkan kesilapan dan kesalahan yang telah sudah.

BN hanya ada kurang dari 2 tahun untuk memenangi hati rakyat. Rakyat kini bukan sahaja ingin melihat sebuah kerajaan yang kelihatan bersih, tetapi sebenar-benarnya bersih. Para pengundi pada masa kini bukannya mengundi PR kerana menyukai gerakan tersebut, tetapi kerana benci dan meluat dengan kerajaan BN.

Najib sememangnya mengerti dan memahami kehendak hati para pengundi, tetapi beliau tidak akan dapat melaksanakannya berseorangan. Keseluruhan pucuk pimpinan BN dari presiden sehinggalah kepada ahli biasa, perlu menyokong Najib demi menyelamatkan sebuah negara yang aman, makmur dan merdeka. Sumbanglah untuk TA1M!

Saturday, April 18, 2009

Najib sakit hati

Najib mendapat tamparan seterusnya setelah mendapat tamparan sulung akibat kegagalan beliau memenangi PRK yang lalu di Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Kini, Penanti menanti Najib. Mula kedengaran bagaimana Najib berkeluh kesah mengenai pembaziran yang tidak diperlukan akibat daripada PRK Penanti ini.

Sekiranya kes Elizabeth Wong dapat diselesaikan secara baik, mengapa kes Fairuz tidak. Demikian antara persoalan yang bakal dikemukakan oleh pengundi, dan mungkin juga akan digunakan oleh Najib. Najib berasa gundah gulana apabila memikirkan jumlah wang yang banyak perlu dibelanjakan untuk menghadapi PRK nanti.

Selalunya, suasana PRK amat disenangi kaum puak juah UMNO kerana waktu inilah banyak durian runtuh. Projek poster, banner, bunting, kain rentang, dan lain-lain lagi menjadi rebutan. Itu belum mengambil kira projek mee segera yang menelan beberapa juta ringgit lagi.

Namun, setelah mengalami kekalahan sebanyak 4 kali berturut-turut, dan hanya dapat mempertahankana 1 kerusi sahaja, di dalam PRK selepas daripada PRU ke 12, Najib tidak berasa gembira untuk merayai kekalahan seterusnya. Ini akan mencalarkan rekod beliau sebagai PM yang baru.

Belum pernah berlaku dalam sejarah Malaysia, seorang PM baru berhadapan dengan kekalahan di dalam PRK semasa era pemerintahannya. Abdullah memulakan langkahnya dengan cemerlang, walau pun diakhiri secara tidak molek. Begitu juga PM yang terdahulu.

Najib perlu banyak beristiqamah dan menyelam jauh ke dasar lubuk hati yang nurani, apakah langkah yang perlu beliau ambil untuk mengatasi gelombang tsunami rakyat yang mengamuk dan memecah benteng rasional pemikiran pengundi.

Najib sendiri sudah melihat kesan amukan rakyat sewaktu menghadiri sidang Asean yang dibatalkan di Pattaya baru-baru ini. Perlukah Najib mengalaminya sendiri di negara sendiri, hanya Najib yang mempunyai jawapannya.

Monday, March 2, 2009

PPSMI, 7 Mac 2009

Bahasa jiwa bangsa. Bagaimanakah jiwa sesuatu bangsa dapat dihayati? Salah satunya adalah melalui bahasa. Di Malaysia, Bahasa Malaysia telah dikesampingkan dalam melonjak bahasa tersebut sebagai bahasa utama sepertimana termaktub di dalam perlembagaan yang menyatakan bahawasanya Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi.

Salah satu sejarah yang merobek kedaulatan bahasa masa kini adalah Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik ( sepatutnya di tulis ilmu hisab) di dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Kesan 6 tahun PPSMI dilaksanakan telah di terjemah kepada penurunan gred markah terbaik ke tahap yang tidak pernah di lihat.

Jika diamati, keunggulan sesuatu negara itu tidak terletak kepada kemampuan rakyat mereka berbahasa inggeris atau pun belajar mata pelajaran penting di dalam bahasa asing. Contoh terdekat adalah Indonesia dan Thailand. Kedua-duanya menggunakan bahasa ibunda mereka. Begitu juga jika kita melihat jauh sedikit, seperti Korea, Taiwan, China, Jepun, India dan Pakistan. Ada di antara negara-negara ini telah pun begitu maju sehingga dapat melancarkan satelit ke angkasa.

Mengapakah kita telah mencarca-merbakan minda dan keupayaan anak bangsa Malaysia kita menguasai Ilmu Hisab dan Sains di dalam bahasa ibunda mereka? Kita hanya memerlukan segelintir orang kita untuk mempelajari apa-apa sahaja bentuk ilmu sains di negara luar, dan pulang mencurah bakti ke negara kita dengan menterjemahkannya ke dalam bahasa ibunda lalu diajarkan kepada mahasiswa kita.

Kita hanya perlu belajar bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran bahasa pilihan, yang antara lain, akan juga menyenaraikan lain lain bahasa sebagai pilihan pelajar. Maka, bahasa ibunda akan menjadi bahasa pencipta kelak apabila kita telah dapat melahirkan seramai mungkin saintis yang berupaya menjana kajian yang terbaik menerusi sains dan berjaya juga mencipta nama-nama baru di dalam bahasa ibunda untuk diketengahkan kepada masyarakat sains dunia. Seperti mana Jepun yang dapat menguasai dunia menerusi ekonominya.

Pada 7 hb. Mac, 2009 nanti, akan menyaksikan gelombang amokan bangsa Melayu yang sudah tidak tertahan dengan tahap penindasaan dan penganiayaan yang dihasilkan oleh PPSMI. Kerajaan harus mendengar suara hati rakyat. Ianya tidak berkesan, namun mengapa harus diteruskan. Adakah kerana ingin mengisi kantong beberapa kroni yang berjaya menghasilkan buku-buku PPSMI, lalu jeritan batin rakyat tidak dipedulikan? Semuanya seolah-olah berkisar disekeliling wang ringgit. Perjuangan bangsa di pijak dan di injak-injak seolah-olah tiada nilainya langsung di mata pemerintah.

Pemerintah merasakan bahawa ini semua akan diperbetulkan secara tabie apabila, lama kelamaan, rakyat hanya mendiamkan diri dan pelajar-pelajar dapat mengikuti sepenuhnya pengajaran tersebut seperti mana yang di rancang oleh mereka. Sedarlah, ini hanyalah khayalan Si Luncai.

Saturday, February 28, 2009

Malaysia siapa?

Malaysia milik siapa? Milik rakyat Malaysiakah? Kerajaankah? Perdana Menterikah? Atau Parlimenkah? Kalau Parlimen, berapa ramai ahli parlimen Malaysia yang beragama Islam? Terdapat 116 ahli parlimen yang beragama Islam. 116/222 adalah 52% daripada dewan rakyat. Secara amnya, itu adalah majoriti mudah. Ahli parlimen Malaysia beragama Islam boleh dengan mudahnya mengusulkan Perlembagaan Negara Islam untuk Malaysia ikuti dan menegakkan segala yang termaktub di dalam perlembagaan seperti Bahasa Malaysia menjadi bahasa rasmi dan pengantar, nama Malaysia diguna-pakai oleh seluruh rakyat Malaysia, satu sistem persekolahan untuk semua rakyat Malaysia dengan matlamat akhir, perekonomian dan undang-undang Islam ditegakkan dimuka bumi Malaysia ini.

Bolehkah perkara ini dilaksanakan? Mengapa tidak? Malaysia adalah milik kita semua. Parlimen berkuasa ke atas perjalanan dan hala tuju negara kita. Tiada sesiapa yang lebih tinggi dari Parlimen buat masa ini. Jalankan tugas, bukannya bercakaran sesama sendiri. Tidak penting siapa yang mencadangkan usul ini. Paling penting, setiap ahli parlimen beragama Islam wajib menyokong usul tersebut.

Sekiranya ini terjadi, kuasa pemerintahan akan beralih kepada khalifah yang dilantik oleh dewan syura. Keahlian untuk dewan syura akan dikepalai oleh seorang ulama yang mengetuai sekumpulan ulama seramai 20 orang diikuti pula oleh mereka yang terpilih oleh rakyat seramai 15 orang. Ahli dewan rakyat kini akan berkhidmat dibawah seorang khalifah yang menentukan hala tuju negara kita. Namun, kuasa khalifah dapat ditegur oleh sesiapa sahaja, dan sekiranya terbukti khalifah berkenaan melakukan kesalahan tersebut, beliau dikehendaki menyerahkannya kepada dewan syura untuk membuat keputusan yang perlu diakur oleh khalifah berkenaan.

Para ahli dewan rakyat akan meneruskan tugasan mereka masing-masing mewakili kawasan mereka. Semua peruntukan kawasan akan dikeluarkan secara telus. Tiada unsur penyalah gunaan kuasa timbul. Kemudahan e-Kerajaan digunakan sepenuhnya oleh keseluruhan kakitangan kerajaan, sehingga ke tahap, mereka boleh melakukan tugasan tersebut dari rumah mereka. Ini akan menjimatkan banyak kos bahan api yang dapat dijimatkan daripada perjalanan yang perlu dilalui setiap hari ke pejabat.

Perlaksanaan e-Kerajaan secara total akan turut mengurangkan kos kertas dan bahan alatulis secara mendadak, di mana peruntukan tersebut dapat disalurkan kepada perkara yang lebih berfaedah, seperti menangani kemiskinan di Malaysia, mendirikan kemudahan awan dan memperkembangkan lagi pusat internet untuk rakyat menggunakan e-Kerajaan. Percukaian, lesen motor kereta, cukai jalan, segalanya diurus menerusi e-Kerajaan. Rakyat Malaysia tidak akan membazir masa untuk beratur dan sebagainya.

Pembayaran masa kini amat mudah, dengan debit kad yang berlambak di pasaran. Pilih satu, dan teruskan dengan urusan kerajaan, hanya dari rumah anda atau pusat internet. Secara tidak langsung, kerajaan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat terbanyak dengan penubuhan rangkaian pusat internet umum yang khusus untuk berurusan dengan kerajaan secara percuma.

Undang-undang Islam yang telah ditegakkan dijalankan secara betul. Pencuri yang dibuktikan menerusi perundangan Islam, dengan saksi yang cukup dan sah, akan di potong tangan kiri dikhalayak umum. Kes jenayah juga akan turun mendadak. Bukan jenayah tidak ada, tapi dalam jumlah yang sedikit. Amat sedikit. Penerapan nilai dan kehidupan secara Islam dilaksanakan secara penuh. Semua berhenti dan berjemaah apabila masuk waktu. Lain-lain bentuk hiburan sedia ada masih dibenarkan beroperasi, tetapi khusus untuk bukan Islam sahaja.

Bolehkah? Mengapa tidak? Negara ini negara kita dan cara telah disuarakan oleh rakyat. Saya telah menjalankan tugas saya semoga Allah mengampunkan saya diatas segala kesalahan saya.