Tuesday, May 11, 2010

Rais hina Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu

Rais Yatim baru-baru ini telah menyarankan agar tindakan di ambil terhadap pihak-pihak yang telah mencemarkan institusi Raja-Raja Melayu, terutama sekali kepada Zaid Ibrahim yang mempertikaikan titah Sultan Selangor baru-baru ini dan juga pandangan Nik Aziz terhadap pendirian beliau berpolitik secara Islam di masjid-masjid.

Pengamatan daripada tindakan Rais lebih terjurus kepada membakar semangat bangsa Melayu agar bertindak terhadap pihak Pakatan Rakyat agar terhakis sokongan kepada kelompok ini. Acapkali, isu Raja-Raja Melayu sentiasa dibangkitkan kebelakangan ini apabila isu berkenaan memberi kelebihan kepada kerajaan memerintah sekarang.

Rais sepatutnya ikhlas dengan tindakan beliau kerana sejarah membuktikan kerajaan sekarang lebih mengaibkan kedaulatan Raja-Raja Melayu dengan tindakan-tindakan yang lebih drastik berbanding dengan apa yang diutarakan oleh Zaid dan Nik Aziz.

Sekiranya Rais benar-benar hendak membela Raja-Raja Melayu, beliau wajib mengambil tindakan dengan membersihkan terlebih dahulu perlakuan yang sangat menghina Raja-Raja Melayu semasa ahli-ahli parti beliau menghina DYMM Yang Dipertuan Agung dalam kes "natang" di Terengganu suatu ketika dahulu.

Begitu juga dengan tindakan parti beliau yang pernah membuat cubaan menggulingkan Sultan Kelantan dan menggantikan baginda dengan calon pilihan parti beliau. Di samping itu, perbuatan parti beliau yang menghadkan kekuasaan Raja-Raja Melayu menerusi Akta Parlimen, di mana, Raja-Raja Melayu hanya menjadi simbol negara sahaja, dengan kehilangan kuasa untuk menentukan corak pemerintahan semasa.

Tindakan Rais dengan sokongan Ibrahim Ali, mewakili Perkasa, akan membuatkan bangsa Melayu lebih meluat kepada pihak pemerintah sekarang. Rakyat yang sangat celik dan berfikiran terbuka sentiasa ingat dengan tindakan-tindakan parti Rais. Manakala, bangsa bukan Melayu akan tersenyum sinis terhadap tindakan yang di ambil oleh Rais.

Hentikanlah retorik rasis yang tidak bertempat ini dan berjuanglah secara ikhlas, bukan dengan memomokkan rakyat berdasarkan propaganda memperbodoh-bodohkan rakyat. Rakyat dapat menilai keikhlasan pemimpin dan akan mengambil tindakan menerusi penjelmaan undi semasa PRU 13 kelak. Sesungguhnya, yang lebih menghina Melayu dan kedaulatan Raja-Raja Melayu adalah Rais sendiri. Jangan memporak-perandakan kesatuan Melayu yang sememangnya telah rapuh ini dan mengheret institusi Raja-Raja Melayu ke dalam kancah yang menjatuhkan lagi martabat institusi berkenaan.

No comments: