Thursday, April 22, 2010
Poligami "Haram"
Poligami "haram" ini berlaku kerana undang-undang berkenaan berkehendakkan persetujuan rasmi dari isteri pertama, yang tidak diperolehi oleh Bung dalam hal ini.
Di Perlis, Shahidan telah memansuhkan keperluan persetujuan tersebut, dan Perlis juga mengalu-alukan sesiapa yang hendak berpoligami menjalankan syariat berkenaan berkunjung ke sana.
Secara tidak langsung, ianya mengelak dari pasangan bernikah di negara jiran dan mengurangkan pengaliran wang keluar negara.
Inilah yang peliknya. Allah s.w.t. membenarkan poligami sehingga empat kerana Dia mengetahui sifat diri seorang lelaki. Walaubagaimana pun, Dia juga berfirman, para poligami ini tidak akan dapat berlaku adil, sehebat mana sekali pun mereka cuba berlaku adil.
Sejarah juga menyaksikan, para nabi dan rasul juga mengamalkan poligami. Naluri diri manusia lelaki sememangnya berkehendakkan belaian seorang wanita sentiasa.
Hikmah disebaliknya pula, akan lebih ramai ummah Nabi Muhammad s.a.w. lahir ke dunia ini secara sah.
Kenapa perkara yang terang-terangan dibolehkan oleh Allah s.w.t. disusahkan dan ditokok-tambah pula syarat-syaratnya. Bukankah Islam sudah sempurna.
Perkara-perkara yang terang-terangan diharamkan seperti arak, judi dan zina, dipermudah dan dibolehkan pula.
Selama 50 tahun Malaysia yang mengaku berdaulat dan Islam sebagai agama rasminya tidak membawa sebarang makna sekiranya munkar terjadi berleluasa.
Kita Prihatin adalah satu slogan yang tidak kena pada tempatnya. Didiklah diri-diri Islam yang lahir bagaikan sehelai kain putih ini untuk menghayati Islam sebaiknya.
Sediakanlah persekitaran yang berwadahkan Islam, bukan budaya hendonisma yang bersepah merata-rata.
Maka, jangan disalahkan anak muda dan mat rempit apabila bayi bertaburan di merata-rata. Najib pasti akan di soal di hadapan neraca, apa yang telah dibuatnya.
Poligami "haram", simpan perempuan "halal". Karaoke GRO "halal".
Subhanallah. Malaysia BOLEH!
Monday, November 9, 2009
Macam Mana Nak Ajar Islam Dekat Anak
Bekas mufti berkenaan di dakwa tidak mempunyai kelayakan yang berkenaan untuk menyampaikan syiar Islam kepada khalayak persendirian, apatah lagi khalayak umum. Sejak bila Rasulullah mengeluarkan sijil untuk menyampaikan dakwah Islamiah.
Adakah menjadi kesalahan juga bagi guru-guru yang tidak bertauliah menyampaikan ajaran Islam di sekolah-sekolah di Malaysia. Bagaimana pula seorang bapa yang hendak melentur anaknya dengan acuan Islam, sekiranya berdakwah tanpa kelayakan tidak dibenarkan.
Memandangkan penyebaran ajaran Islam begitu telah dirumitkan, adalah lebih baik kita mula mempelajari agama yang lain, seperti kristian, yahudi, budha atau confucius. Mengajar ajaran-ajaran ini tidak termaktub di dalam arahan JAIM, maka, lebih mudahlah untuk penyebaran ajaran-ajaran berkenaan berkembang di Malaysia.
Belum ada lagi arahan yang dikeluarkan oleh mana-mana pihak, yang memerlukan kelayakan yang di iktiraf, sekiranya seseorang itu hendak menyampaikan ajaran-ajaran lain, selain ajaran Islam. Maka, Islam akan terpelihara di bawah panji 1Malaysia, kerana kesuciannya terjaga oleh mereka-mereka yang benar-benar berkelayakan sahaja, dalam maksud kata, mereka yang di iktiraf oleh JAIM sahaja.
Wednesday, April 29, 2009
Najib jual Islam
Keputusan kabinet Najib itu dibuat berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes Pathmanaban atau nama Islam, Mohd. Ridzuan Abdullah, 40.
Jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi), Koh Tsu Koon turut disertai Menteri Sumber Manusia, Dr. S. Subramaniam; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jamil Khir Baharom; dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Shahrizat Abdul Jalil.
Tiga kanak-kanak berkenaan iaitu Tevi Darsiny, 12; Karan Dinesh, 11 dan Prasana Diksa, setahun, yang dibawa memeluk Islam oleh Mohd. Ridzuan pada 12 April lalu dengan menggunakan bukti sijil kelahiran.
Persoalan yang berlegar di minda rakyat kini, adakah kanak-kanak ini akan dibesarkan mengikut fahaman asal Mohd. Ridzuan dan mereka hanya boleh membuat pilihan apabila mencapai umur 18 tahun?
Bagaimana Ridzuan sebagai penganut baru Islam dapat melihat sahaja anak-anaknya dibesarkan di dalam kegelapan apabila Ridzuan sendiri telah menemui cahaya keislaman? Bagaimana beliau hendak menerapkan unsur-unsur dan fahaman Islam sekiranya anak-anak beliau dibesarkan mengikut tradisi Hindu?
Bagaimana sebuah jawatankuasa yang begitu besar tanggung-jawabnya di pengerusikan oleh bukan ahlinya? Apa yang Koh Tsu Koon dan S. Subramaniam tahu mengenai keIslaman berbanding Dr. Hassan Din atau Dr. Haron Din? Mengapa jawatankuasa tersebut idak dipengerusikan oleh mufti negara?
Najib, janganlah esok anda dipersoalkan mengenai perkara ini.
Sunday, April 5, 2009
TV3 sentiasa bersamamu dan kafir
14 tahun kemudian, Anwar di cop sebagai menjilat ludahnya sendiri apabila telah menubuhkan PR bersama PAS dan PKR. Tempoh tersebut adalah di lihat sudah tentu dapat menyatukan kelompok ini menerusi usahasama yang dicapai menerusi musyawarah yang berterusan dan pemahaman yang diterapkan berkenaan isu ini.
Ianya juga berlaku di dalam BN apabila lewat kini, parti-parti komponen BN telah menyuarakan rasa tidak puas hati secara terbuka di dada akhbar, dan juga semasa pemerintahan Mahathir. Cuma, Mahathir berjaya mengawal keadaan dengan memerintah Malaysia secara kuku besi.
Seseorang berhak untuk berubah ke arah yang lebih baik sekiranya pemahaman yang diperolehinya dapat menangkis salah tanggapan yang terlekat difikiran seseorang sebelum di beri penerangan yang sebenar.
Turut di siar adalah berkenaan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang berceramah di atas pentas PAS yang di tuduh menghina Al-Quran kerana menyebut ayat Al-Quran secara salah. Harusani, mufti Perak, turut memberi ulasan terhadap orang kafir yang mengucapkan ayat-ayat Al-Quran secara salah.
Di lihat dari sisi lain, langkah penceramah Cina ini dapat mendekatkan masyarakat Cina kepada Islam dan akan memberi kefahaman yang berbeza sama sekali terhadap pandangan umum masyarakat Cina terhadap Islam.
Sekiranya mereka yang hendak berjinak-jinak dengan Islam di ambil tindakan, adakah pihak-pihak berwajib untuk menyebarkan agama Islam di Malaysia mengambil pendekatan serupa sepertimana penceramah Cina ini di dalam mendekati penganut agama lain.
Konotasi kafir yang disiarkan menerusi TV3 juga nampaknya terdapat kecelaruan dikalangan pemahaman umat Islam secara keseluruhannya. Kafir adalah perkataan yang ditujukan kepada pihak yang telah di beri kefahaman mengenai Islam tetapi engkar melaksanakannya.
Adakah masyarakat Cina yang sememangnya tidak di beri penjelasan berkenaan Islam boleh digolongkan sebagai pihak yang kafir, atau perkataan tersebut perlu diarahkan kepada orang yang mengaku dirinya Islam tetapi tidak melaksanakan perintah Allah.